SEJARAH
Sejarah Latar Belakang
Sekolah
Pelaksanaan
konsep aneka jurusan dalam dasar pelajaran kebangsaan yang mula dilaksanakan
pada tahun 1965 telah memberi era baru bagi aliran pendidikan dalam Bahasa
Melayu. Dari sinilah bermulanya pendidikan di sekolah menengah yang menggunakan
bahasa pengantar Bahasa Melayu dan tiada yuran bulanan dikenakan. Lanjutan
pelaksanaan dasar pelajaran ini, maka sejak tahun 1965 hingga 1970, murid-murid
di kawasan Tasek Gelugor terpaksa melanjutkan pelajaran di peringkat menengah
di sekolah-sekolah di luar kawasan Tasek Gelugor iaitu di Sekolah Menengah
Kebangsaan Kepala Batas (sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul
Kadir), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn di Butterworth dan Sekolah
Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam. Mereka terpaksa belajar di sekolah tersebut
kerana ketika itu belum diwujudkan lagi sebuah sekolah menengah di kawasan
Tasek Gelugor.
Peringkat Awal Penubuhan
Dengan
bertambahnya sekolah-sekolah kebangsaan di kawasan ini, maka kewujudan sebuah
sekolah menengah adalah amat diperlukan. Pada awal tahun 1969, kerja-kerja
pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dimulai di atas satu
kawasan seluas 4.8 hektar, di belakang Pusat Kesihatan Tasek Gelugor dan
bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor. Pada peringkat awal, di
bina dua (2) buah blok bangunan dua tingkat dan sebuah kantin serta padang
permainan dan siap dibina pada akhir tahun 1970.
Pada
bulan Januari 1971, Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor mula dibuka
dengan menerima pelajar di sekitar Tasek Gelugor untuk persekolahan tingkatan
satu (1) dan dua (2) dalam aliran Melayu, dan ‘remove class’, ‘form one’ dan
‘form two’ dalam aliran Inggeris. Terdapat 10 buah kelas yang menampung
341orang murid dan 15 orang guru dan 4 orang pekerja. Guru Besar (sekarang
Pengetua) yang pertama ialah Encik Wan Din bin Wan Abdul Rahim dan Penolong
Kanan ialah Encik Ahmad bin Rejab, kerani Miss Chong, dengan dibantu oleh
pekerja am Encik Zainon bin Abu Bakar, Encik Ali bin Lazim, dan kemudian Encik
Mohd Taib bin Shariff. Dua bangunan yang ada ketika itu ialah bangunan Marikh
dan Musytari.
Nama Sekolah
Pada
peringkat awal, sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor
tetapi kemudiannya diubah kepada satu nama lain. Satu mesyuarat penting
diadakan antara Guru Besar (encik Wan Din bin Wan Abdul Rahim) dengan Ahli
Jawatankuasa dan Pengerusi Jemaah Tadbir, Encik Mohamad Idris pada tahun 1978
telah bersetuju menukarkan nama sekolah ini kepada Sekolah Menengah Kebangsaan
Bakti. Dengan demikian, nama sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah
Kebangsaan Bakti mulai tahun 1978.
Lencana
sekolah telah dicipta oleh Cikgu Shuib Talib pada tahun 1971, yang menggunakan
warna merah, kuning dan hijau disamping motto “Progresif dan Produktif”.
Bendera sekolah kemudiannya dicipta pada tahun 1972 dengan berdasarkan warna
merah, hijau dan kuning serta lencana sekolah di tengahnya.
Pada
awal tahun 1977, telah dicipta pula lagu sekolah oleh Cikgu Ibrahim bin Ahmad.
Senikata lagu ditulis oleh Cikgu Wan Din bin Wan Abdul Rahim (Guru Besar) dan
Cikgu Rasdy bin Haji Ismail. Lagu ini juga menggunakan motto ‘Progresif dan
Produktif’ serta warna sekolah. Sehingga kini lagu sekolah dinyanyikan pada
setiap kali diadakan perhimpunan sekolah.
Mulai
tahun 1996, misi sekolah ialah ‘Bersatu Menuju Kecemerlangan’ manakala visi
sekolah ialah untuk ‘ Melahirkan Warga Bakti yang Kreatif, Inovatif,
Berketrampilan dan Berakhlak Mulia.
Perkembangan Tingkatan
dan Aliran
Pada peringkat
awal penubuhan sekolah ini, murid-murid yang memulakan pembelajaran datangnya
dari sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan di sekitar kawasan Tasek
Gelugor. Pada tahun 1971, terdapat dua ‘Remove Class’, 2 kelas ‘Form One’, 2
kelas ‘Form Two’ dalam aliran Inggeris, dan 3 kelas Tingkatan satu dan 1 kelas
Tingkatan dua dalam aliran Melayu. Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan Lower
Certifivate of Education telah diadakan buat pertama kali di sekolah ini pada
tahun1973. Murid-murid yang berjaya ke tingkatan empat pada tahun 1973,
terpaksa melanjutkan mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad
Badawi di Kepala Batas, dan sekolah-sekolah di Butterworth dan Bukit Mertajam.
Pertambahan
murid yang pesat mulai tahun 1972, dan selepasnya dan kekurangan bilik darjah
untuk menampung pertambahan itu menyebabkan diadakan dua sesi persekolahan.
Sesi petang persekolahan dimulakan pada tahun 1975 dan Cikgu Ahmad bin Rejab
dilantik sebagai Penyelia Petang yang pertama. Pembinaan dua buah bangunan
empat tingkat yang telah digunakan pada tahun 2003 dan pembukaan dua buah
sekolah menengah di kawasan Tasek Gelugor iaitu SMK Kampung Selamat dan SMK
Pokok Sena.
Pada
tahun 1979, bermulalah era perkembangan sekolah dengan pembukaan kelas
Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti. Tiga kelas Tingkatan
Empat aliran sastera dan satu kelas Tingkatan Empat aliran sains menjadi kelas
perintis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun berikutnya
dengan calon seramai 147 orang. Pelajar-pelajar yang berjaya telah menyambung
pelajaran ke tingkatan enam pada tahun 1981 ke sekolah-sekolah di Butterworth
dan Bukit Mertajam. Mulai tahun 1986, lepasan SPM ini disalurkan ke Tingkatan
Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas.
Pertambahan
bilangan pelajar di kawasan Tasek Gelugor yang layak menyambung pelajaran ke
Tingkatan Enam menyebabkan pihak pentadbiran mengambil inisiatif membuka dua
kelas Tingkatan Enam iaitu kelas Geografi dan kelas Ekonomi pada tahun 2004.
Seramai 43 calon menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada
tahun 2005. Pada tahun 2006, seramai 85 orang guru dan 1340 orang pelajar yang
ada di sekolah ini.
Pembinaan Bangunan
Pertambahan
pesat murid-murid dari tahun 1971hingga tahun 1975 tidak dapat ditampung oleh
dua blok bangunan yang sedia ada. Bilangan murid dalam setiap kelas mencapai
angka purata 43 orang pada tahun 1975. Satu blok bangunan mengandungi bengkel
kayu, bengkel elektrik, bengkel motor untuk mata pelajaran Seni Perusahaan
telah dibina dan mula digunakan pada tahun 1974. Dihujung padang, dibina satu
kolam bagi projek pembiakan ikan untuk mata pelajaran Sains Pertanian.
Pada
tahun 1976, satu blok bangunan mengandungi tiga makmal sains tulen dan enam
bilik darjah siap dibina dan mula digunakan. Satu lagi blok bangunan
mengandungi tujuh bilik darjah dan sebuah studio untuk Pendidikan Seni telah
dibina dan mula digunakan pada tahun 1973. Seterusnya, pada akhir tahun 1983,
dua lagi blok bangunan pasang siap mengandungi enam bilik darjah mula dibina
dan dapat digunakan pada awal tahun 1984.
Pada
akhir tahun 1989, kawasan kantin diperbesarkan dua kali ganda untuk mewujudkan
keadaan yang kondusif kepada guru dan pelajar. Sebuah surau juga telah dibina
dan mula digunakan pada pertengahan tahun 1990 atas bantuan projek dari YB Tuan
Haji Yusof bin Latif, Ahli Parlimen Tasek Gelugor ketika itu. Sebuah bangunan
empat tingkat mengandungi 11 bilik darjah yang terbengkalai selama tiga tahun
dapat disiapkan dan mula digunakan pada pertengahan tahun 1990.
Pada
tahun 2001, dua buah bangunan empat tingkat yang menempatkan pejabat, bilik
mesyuarat, makmal komputer, makmal sains, makmal bahasa dan bilik darjah mula
dibina. Sebuah surau dan dua buah asrama turut dibina untuk memberi kemudahan
tempat tinggal kepada pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Semua
kemudahan ini siap dan dapat digunakan pada tahun 2003
Pada
tahun 2004 2 buah kelas Tingkatan 6 dibuka. Kelas yang dibuka ialah Aliran
Kemanusiaan. Pakej mata pelajaran yang ditawarkan ialah Pengajian Am, Bahasa
Melayu , Sejarah, Ekonomi , Geografi dan Muet. Pada tahun 2009 Pakej mata
pelajaran telah ditukar iaitu subjek Ekonomi telah ditukar dengan subjek Pengajian
Perniagaan. Bilangan pelajar pada masa itu seramai 35 orang Seramai 10
orang guru ditugaskan mengajar Tingkatan 6. Penyelaras Tingkatan 6 pada ketika
itu ialah Pn Sarimah binti Hashim. Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti telah
menerima pelajar SMK Bakti dan SMK Kampong Selamat.
Kini
pelajar Pra-U SMK Bakti seramai 84 orang dan telah menghasilkan ramai pelajar
yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Sekolah-sekolah Saluran
Sekolah Menengah
Kebangsaan Bakti menerima murid-murid tingkatan peralihan dan tingkatan satu
dari sekolah rendah di sekitar kawasan Tasek Gelugor. Sekolah-sekolah tersebut
ialah:
1. Sekolah
Kebangsaan Tasek Gelugor
2. Sekolah
Kebangsaan Kg. Tok Bedor
3. Sekolah
Kebangsaan Mohd. Shah, Kg. Baharu
4. Sekolah
Kebangsaan Padang Menora
5. Sekolah
Kebangsaan Kg. Selamat
6. Sekolah
Kebangsaan Pengkalan Jaya, Tasek Gelugor
7. S.R.J.K
(C) Lee Chee, Tasek Gelugor
8. S.R.J.K
(C) Mah Hua, Kg. Selamat
9. S.R.J.K
(T) Mayfield, Kg. Besar
10. S.R.J.K (T) Malakof,
Pokok Macang