Hubungi Kami

Faks: 6045734758 -Telefon: 6045731080 -Kod Sekolah: PEE2056 -Alamat: Jalan Kubang Menerong 13300,Tasek Gelugor,Mutiara Timur,Malaysia

Thursday 18 June 2015

Sejarah Sekolah

   



               
SEJARAH

Sejarah Latar Belakang Sekolah

Pelaksanaan konsep aneka jurusan dalam dasar pelajaran kebangsaan yang mula dilaksanakan pada tahun 1965 telah memberi era baru bagi aliran pendidikan dalam Bahasa Melayu. Dari sinilah bermulanya pendidikan di sekolah menengah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu dan tiada yuran bulanan dikenakan. Lanjutan pelaksanaan dasar pelajaran ini, maka sejak tahun 1965 hingga 1970, murid-murid di kawasan Tasek Gelugor terpaksa melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di sekolah-sekolah di luar kawasan Tasek Gelugor iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas (sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn di Butterworth dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam. Mereka terpaksa belajar di sekolah tersebut kerana ketika itu belum diwujudkan lagi sebuah sekolah menengah di kawasan Tasek Gelugor.

Peringkat Awal Penubuhan

Dengan bertambahnya sekolah-sekolah kebangsaan di kawasan ini, maka kewujudan sebuah sekolah menengah adalah amat diperlukan. Pada awal tahun 1969, kerja-kerja pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dimulai di atas satu kawasan seluas 4.8 hektar, di belakang Pusat Kesihatan Tasek Gelugor dan bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor. Pada peringkat awal, di bina dua (2) buah blok bangunan dua tingkat dan sebuah kantin serta padang permainan dan siap dibina pada akhir tahun 1970.

Pada bulan Januari 1971, Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor mula dibuka dengan menerima pelajar di sekitar Tasek Gelugor untuk persekolahan tingkatan satu (1) dan dua (2) dalam aliran Melayu, dan ‘remove class’, ‘form one’ dan ‘form two’ dalam aliran Inggeris. Terdapat 10 buah kelas yang menampung 341orang murid dan 15 orang guru dan 4 orang pekerja. Guru Besar (sekarang Pengetua) yang pertama ialah Encik Wan Din bin Wan Abdul Rahim dan Penolong Kanan ialah Encik Ahmad bin Rejab, kerani Miss Chong, dengan dibantu oleh pekerja am Encik Zainon bin Abu Bakar, Encik Ali bin Lazim, dan kemudian Encik Mohd Taib bin Shariff. Dua bangunan yang ada ketika itu ialah bangunan Marikh dan Musytari.

Nama Sekolah

Pada peringkat awal, sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor tetapi kemudiannya diubah kepada satu nama lain. Satu mesyuarat penting diadakan antara Guru Besar (encik Wan Din bin Wan Abdul Rahim) dengan Ahli Jawatankuasa dan Pengerusi Jemaah Tadbir, Encik Mohamad Idris pada tahun 1978 telah bersetuju menukarkan nama sekolah ini kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti. Dengan demikian, nama sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti mulai tahun 1978.

Lencana sekolah telah dicipta oleh Cikgu Shuib Talib pada tahun 1971, yang menggunakan warna merah, kuning dan hijau disamping motto “Progresif dan Produktif”. Bendera sekolah kemudiannya dicipta pada tahun 1972 dengan berdasarkan warna merah, hijau dan kuning serta lencana sekolah di tengahnya.

Pada awal tahun 1977, telah dicipta pula lagu sekolah oleh Cikgu Ibrahim bin Ahmad. Senikata lagu ditulis oleh Cikgu Wan Din bin Wan Abdul Rahim (Guru Besar) dan Cikgu Rasdy bin Haji Ismail. Lagu ini juga menggunakan motto ‘Progresif dan Produktif’ serta warna sekolah. Sehingga kini lagu sekolah dinyanyikan pada setiap kali diadakan perhimpunan sekolah.

Mulai tahun 1996, misi sekolah ialah ‘Bersatu Menuju Kecemerlangan’ manakala visi sekolah ialah untuk ‘ Melahirkan Warga Bakti yang Kreatif, Inovatif, Berketrampilan dan Berakhlak Mulia.

Perkembangan Tingkatan dan Aliran

Pada peringkat awal penubuhan sekolah ini, murid-murid yang memulakan pembelajaran datangnya dari sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan di sekitar kawasan Tasek Gelugor. Pada tahun 1971, terdapat dua ‘Remove Class’, 2 kelas ‘Form One’, 2 kelas ‘Form Two’ dalam aliran Inggeris, dan 3 kelas Tingkatan satu dan 1 kelas Tingkatan dua dalam aliran Melayu. Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan Lower Certifivate of Education telah diadakan buat pertama kali di sekolah ini pada tahun1973. Murid-murid yang berjaya ke tingkatan empat pada tahun 1973, terpaksa melanjutkan mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas, dan sekolah-sekolah di Butterworth dan Bukit Mertajam.

Pertambahan murid yang pesat mulai tahun 1972, dan selepasnya dan kekurangan bilik darjah untuk menampung pertambahan itu menyebabkan diadakan dua sesi persekolahan. Sesi petang persekolahan dimulakan pada tahun 1975 dan Cikgu Ahmad bin Rejab dilantik sebagai Penyelia Petang yang pertama. Pembinaan dua buah bangunan empat tingkat yang telah digunakan pada tahun 2003 dan pembukaan dua buah sekolah menengah di kawasan Tasek Gelugor iaitu SMK Kampung Selamat dan SMK Pokok Sena.

Pada tahun 1979, bermulalah era perkembangan sekolah dengan pembukaan kelas Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti. Tiga kelas Tingkatan Empat aliran sastera dan satu kelas Tingkatan Empat aliran sains menjadi kelas perintis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun berikutnya dengan calon seramai 147 orang. Pelajar-pelajar yang berjaya telah menyambung pelajaran ke tingkatan enam pada tahun 1981 ke sekolah-sekolah di Butterworth dan Bukit Mertajam. Mulai tahun 1986, lepasan SPM ini disalurkan ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas.

Pertambahan bilangan pelajar di kawasan Tasek Gelugor yang layak menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam menyebabkan pihak pentadbiran mengambil inisiatif membuka dua kelas Tingkatan Enam iaitu kelas Geografi dan kelas Ekonomi pada tahun 2004. Seramai 43 calon menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 2005. Pada tahun 2006, seramai 85 orang guru dan 1340 orang pelajar yang ada di sekolah ini.

Pembinaan Bangunan

Pertambahan pesat murid-murid dari tahun 1971hingga tahun 1975 tidak dapat ditampung oleh dua blok bangunan yang sedia ada. Bilangan murid dalam setiap kelas mencapai angka purata 43 orang pada tahun 1975. Satu blok bangunan mengandungi bengkel kayu, bengkel elektrik, bengkel motor untuk mata pelajaran Seni Perusahaan telah dibina dan mula digunakan pada tahun 1974. Dihujung padang, dibina satu kolam bagi projek pembiakan ikan untuk mata pelajaran Sains Pertanian.

Pada tahun 1976, satu blok bangunan mengandungi tiga makmal sains tulen dan enam bilik darjah siap dibina dan mula digunakan. Satu lagi blok bangunan mengandungi tujuh bilik darjah dan sebuah studio untuk Pendidikan Seni telah dibina dan mula digunakan pada tahun 1973. Seterusnya, pada akhir tahun 1983, dua lagi blok bangunan pasang siap mengandungi enam bilik darjah mula dibina dan dapat digunakan pada awal tahun 1984.

Pada akhir tahun 1989, kawasan kantin diperbesarkan dua kali ganda untuk mewujudkan keadaan yang kondusif kepada guru dan pelajar. Sebuah surau juga telah dibina dan mula digunakan pada pertengahan tahun 1990 atas bantuan projek dari YB Tuan Haji Yusof bin Latif, Ahli Parlimen Tasek Gelugor ketika itu. Sebuah bangunan empat tingkat mengandungi 11 bilik darjah yang terbengkalai selama tiga tahun dapat disiapkan dan mula digunakan pada pertengahan tahun 1990.

Pada tahun 2001, dua buah bangunan empat tingkat yang menempatkan pejabat, bilik mesyuarat, makmal komputer, makmal sains, makmal bahasa dan bilik darjah mula dibina. Sebuah surau dan dua buah asrama turut dibina untuk memberi kemudahan tempat tinggal kepada pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Semua kemudahan ini siap dan dapat digunakan pada tahun 2003

Pada tahun 2004 2 buah kelas Tingkatan 6 dibuka. Kelas yang dibuka ialah Aliran Kemanusiaan. Pakej mata pelajaran yang ditawarkan ialah Pengajian Am, Bahasa Melayu , Sejarah, Ekonomi , Geografi dan Muet. Pada tahun 2009 Pakej mata pelajaran telah ditukar iaitu subjek Ekonomi telah ditukar dengan subjek Pengajian Perniagaan. Bilangan pelajar pada masa itu seramai 35 orang  Seramai 10 orang guru ditugaskan mengajar Tingkatan 6. Penyelaras Tingkatan 6 pada ketika itu ialah Pn Sarimah binti Hashim. Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti telah menerima pelajar SMK Bakti dan SMK Kampong Selamat.
Kini pelajar Pra-U SMK Bakti seramai 84 orang dan telah menghasilkan ramai pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. 

Sekolah-sekolah Saluran

Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti menerima murid-murid tingkatan peralihan dan tingkatan satu dari sekolah rendah di sekitar kawasan Tasek Gelugor. Sekolah-sekolah tersebut ialah:
1.      Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor
2.      Sekolah Kebangsaan Kg. Tok Bedor
3.      Sekolah Kebangsaan Mohd. Shah, Kg. Baharu
4.      Sekolah Kebangsaan Padang Menora
5.      Sekolah Kebangsaan Kg. Selamat
6.      Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Tasek Gelugor
7.      S.R.J.K (C) Lee Chee, Tasek Gelugor
8.      S.R.J.K (C) Mah Hua, Kg. Selamat
9.      S.R.J.K (T) Mayfield, Kg. Besar
10.  S.R.J.K (T) Malakof, Pokok Macang

     

          

No comments:

Post a Comment